Bagaimana Pekerja di Jerman Kekal Produktif Walaupun Lebih Pendek Masa Bekerja

Sekiranya anda tidak pernah tahu, Jerman merupakan sebuah negara dimana pekerjanya sangat produktif. Dalam kalangan negara-negara di Eropah, negara Jerman merupakan peneraju utama ekonomi Eropah dan pengeluar terbesar barangan yang dieksport ke rantau Asia.

Bukan itu sahaja, Jerman juga terkenal dengan kepakaran juruteranya dalam dunia automotif. Lihat sahaja pada jenama Volkswagen dan Mercedez. Menariknya, berbanding negara-negara besar yang lain seperti Perancis, Amerika Syarikat dan China, pekerja di Jerman sangat produktif walaupun menikmati waktu kerja yang lebih pendek selain cuti tahunan yang banyak diberikan kepada setiap pekerja.

bekerja di jerman

Secara purata, pekerja di sana hanya bekerja 35 jam seminggu. Jumlah waktu bekerja ini jika dibahagikan kepada 5 hari bermakna mereka hanya bekerja maksimum 7 jam sehari. Sebagai perbandingan, di Malaysia purata bekerja adalah 8 – 9 jam sehari. Malah, ada juga syarikat yang mewajibkan masa bekerja pada hari minggu.

Apakah rahsia pekerja di Jerman kekal produktif sepanjang waktu bekerja?

Waktu bekerja adalah masa untuk bekerja

Dalam budaya dan cara kerja di Jerman, masa bekerja adalah masa untuk melakukan kerja semata-mata. Anda tidak akan melihat pekerja bergosip, bermain Facebook dan media sosial, menonton video di Youtube dan sebagainya. Hal ini berbeza sama sekali seperti di Malaysia dan Amerika Syarikat di mana kebanyakan pekerja banyak melakukan perkara lain pada waktu bekerja.

jurutera jerman

Di Jerman, pekerja yang didapati melakukan kerja lain pada waktu kerja boleh dikenakan hukuman yang berat. Malah, mereka juga ditegah daripada membuka emel peribadi pada waktu bekerja.

Dalam sebuah dokumentari oleh BBC yang bertajuk “Make Me a German”, seorang pekerja wanita yang terlibat dengan program pertukaran pekerja di UK menyatakan beliau terkejut apabila mendapati rakan sekerjanya banyak membazirkan masa berbual-bual mengenai hal keluarga, rancangan bercuti pada hujung minggu dan sebagainya ketika waktu bekerja.

Menurut beliau, hal ini tidak dapat dilihat apabila bekerja di Jerman.

Fokus pada matlamat kerja dan komunikasi secara langsung

komunikasi pekerja

Budaya kerja di Jerman sangat mementingkan fokus untuk mencapai matlamat kerja dan komunikasi secara langsung antara pekerja. Para pekerja disana lebih gemar berbincangan secara langsung dengan bos tentang apa-apa masalah yang dihadapi. Mereka gemar komunikasi secara langsung, bukannya hanya bercakap banyak tetapi tiada isi seperti yang gemar dilakukan masyarakat barat.

Selain itu, pekerja juga dituntut untuk menyiapkan kerja pada waktu yang ditetapkan. Di negara lain, ayat arahan kepada pekerja mungkin berbunyi “Jika boleh laporan ini hendaklah disiapkan pada pukul 4 petang harini” tetapi di Jerman anda akan mendapat arahan sebegini “Laporan ini mesti dihantar sebelum pukul 4 petang pada hari ini juga”. Terdapat ayat penegasan bahawa kerja wajib disiapkan juga pada masa yang ditetapkan.

Selepas waktu bekerja adalah masa untuk berehat

Di Malaysia, adalah seperti suatu kebiasaan apabila para majikan atau bos memberi arahan mengenai kerja ketika luar waktu bekerja. Perkara ini sebenarnya memberikan tekanan dan gangguan kepada pekerja dan sangat dipandang serius sehinggakan terdapat arahan bahawa majikan perlu membayar elaun kerja lebih masa sekiranya mengganggu pekerja di luar waktu bekerja.

Walau bagaimanapun, perkara sebegini tidak dapat dilihat di Jerman. Masa selepas waktu bekerja sememangnya adalah masa untuk berehat bersama keluarga dan melakukan aktiviti peribadi. Malah, pekerja di Jerman juga tidak akan meluangkan masa bersama rakan sekerja mereka selepas waktu pejabat.

masa bercuti bersama keluarga

Kerajaan Jerman juga kini sedang mempertimbangkan untuk melarang majikan daripada menghantar emel atau mesej kepada pekerja mereka selepas waktu bekerja. Cuba bayangkan apa akan jadi apabila perkara sama turut dilakukan di Malaysia? Anda mungkin dimarahi oleh bos anda keesokan harinya apabila tidak melakukan kerja atau arahan yang diberikan melalui mesej WhatsApp yang dihantar kepada anda.

Negara Jerman juga merupakan antara negara yang memberikan pekerja cuti tahunan tertinggi di dunia. Undang-undang negara tersebut mewajibkan majikan memberikan cuti tahunan sebanyak 20 hari minimum kepada pekerja. Secara purata, kebanyakan majikan memberikan 25 hingga 30 cuti tahunan kepada setiap pekerja.

Hal ini memberi peluang pekerja merehatkan minda dan emosi mereka, membolehkan mereka kekal produktif dan fokus apabila kembali bekerja. Sebagai perbandingan, di Malaysia terdapat majikan yang hanya memberikan pekerja 10 hari cuti tahunan.

Cadangan untuk kurangkan masa bekerja di Malaysia?

Di Malaysia, terdapat juga cadangan-cadangan untuk mengurangkan masa bekerja di pejabat. Seperti dijangka, cadangan ini sememangnya ditentang keras oleh banyak majikan. Masa kerja yang lebih pendek ini sememangnya kurang sesuai buat kebanyakan syarikat di Malaysia memandangkan para pekerja lebih banyak meluangkan masa melayan media sosial dan melakukan kerja-kerja sampingan lain seperti berniaga dalam talian pada waktu bekerja.

Apa kata anda?

Kredit:

  1. Huffington Post
  2. The Independent

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *